Luqmanul Hakim : Kisah Lidah Dan Hati | Luqmanul Hakim merupakan seorang yang pintar . Beliau termasuk dalam kelompok orang yang soleh yang sangat mencintai Allah s.w.t. sehingga Allah mengurniakan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan .
Atas sebab itulah beliau digelar Luqman al-Hakim . Luqman memang seorang yang sangat istimewa sehinggakan terdapat satu surah dalam al-Quran diberikan sempena namanya iaitu surah Luqman .
Terlalu banyak kisah yang menarik tentang Luqman . Setiap kisah itu pula mengandungi pengajaran yang sangat berharga . Satu daripada kisah-kisah tersebut ialah kisah tentang lidah dan hati .
Luqmanul Hakim : Kisah Lidah Dan Hati
Luqman disuruh oleh majikannya menyembelih seekor kambing . Majikannya mahukan dua bahagian yang paling baik daripada kambing yang disembelih itu . Selesai kerja menyembelih dan memotong daging , Luqman mendapatkan majikannya dengan membawa hati dan lidah kambing .
Beberapa hari selepas itu , majikannya menyuruh Luqman menyembelih seekor kambing lagi . Kali ini majikannya meminta dua bahagian yang paling buruk pula daripada kambing yang disembelih itu .
" Baiklah tuan , " jawab Luqman
Tidak lama selepas itu , Luqman pun membawa daging yang diminta oleh tuannya . Majikan Luqman berasa hairan melihat daging yang dibawa oleh Luqman itu .
" Sewaktu saya meminta daging yang paling baik , kamu membawakan lidah dan hati kepada saya . Apabila saya meminta daging yang paling buruk pun kamu bawakan lidah dan hati juga . " Kata majikan Luqman
Luqman menjawab : " Tidak ada sesuatu yang lebih baik daripada lidah dan hati jika ia baik . Dan tidak ada sesuatu yang lebih buruk daripada kedua-duanya jika ia jahat . "
Terdiam majikan Luqman mendengar penjelasan hamba suruhannya itu . Memang benar apa yang dikatakannya .
Kesimpulan
Hati yang baik akan mendorong melakukan perkara yang baik . Lidah yang baik akan bercakap dan memberi nasihat tentang perkara yang berbentuk kebaikan . Manakala hati yang jahat , akan selalu berfikir mahu membuat perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.
Lidah yang jahat suka mengumpat , mengeji dan mengadu domba sehingga berlaku perkelahian . Disebabkan hati dan lidah yang jahat , berlakulah pelbagai keburukan dan kejahatan dalam masyarakat .
No comments:
Post a Comment