Masyitah Yang Kuat Imannya | Selain daripada mengasuh dan menguruskan istana Firaun , Masyitah adalah tukang sisir dirajaSebagai seorang yang menyebah Allah , Tuhan Yang Maha Esa , Masyitah tahu risiko yang terpaksa ditanggungnya sekiranya keimanannya diketahui oleh Firaun .
Semakin hari , keimanan Masyitah semakin meningkat . Namun , pada suatu hari , sewaktu masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun , tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia secara tidak sengaja telah menyebut ' Allah ' .
Peristiwa itu telah menyebabkan kemurkaan Firaun , lalu dia meminta Masyitah menjelaskan hal itu . Tanpa perasaan gentar , Masyitah menyatakan bahawa Allah adalah Tuhan kepada sekelian makhluk di atas muka bumi ini . Kata-kata Masyitah yang berani itu membuatkan Firaun bertambah murka . Firaun memerintahkan menterinya , Hamman untuk membunuh Masyitah dan seluruh keluarganya yang telah menyembah Allah .
Seterusnya , tanpa perasaan belas kasihan , Hamman mengarahkan pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah besar . Tujuannya adalah untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang engkar pada Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun .
Selepas menyediakan kawah itu , Hamman membawa Masyitah , suami dan empat orang anaknya termasuk seorang yang masih bayi ke hadapan Firaun . Mereka diberi kata dua , sama ada hendahk menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih .
Masyitah dan suaminya tidak peduli dengan ugutan itu . Dengan tegas merek mempertahan kan keimanan mereka dengan mengatakan Allah S.W.T. itulah Tuhan Yang Maha Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa .
Kata-kata mereka membuatkan Firaun semakin murka . Lalu Firaun mengarahkan Hamman untuk menjatuhkan hukuman kepada Masyitah dan keluarganya .
Sambil ketawa terbahak-bahak penuh kesombongan , Hamman mencampakkan keluarga Masyitah satu-persatu ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih itu .
Seribu satu persoalan membelenggu hati Masyitah saat matanya melihat anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu . Sebagai seorang ibu yang penuh kasih sayang , dia tidak sanggup hendak melihat keperitan yang ditanggung oleh anak-anaknya .
Kini tinggal Masyitah dan bayinya sahaja yang masih belum dicampakkan ke dalam kawah tersebut .
Syaitan mula memainkan peranan dengan membisikkan was-was ke hati Masyitah . Entah bagaimana , Masyitah mula ragu-ragu sama ada hendak terjun ataupun tidak . Hati kecilnya tidak sanggup untuk mengorbankan bayinya yang masih kecil itu .Walau bagaimanapun , dengan kuasa Allah Yang Maha Esa , bayi Masyitah itu telah bercakap , katanya :
" Wahai ibu , marilah kita menyusul ayah . Sesungguhnya , syurga sedang menanti kita. "
Sebaik sahaja mendengar kata-kata daripada bayinya yang masih kecil itu , iman Masyitah bertambah kuat . Maka , dengan penuh rasa kehambaan dan cinta kepad Allah S.W.T. , Masyitah terjun ke dalam kawah itu bersama-sama bayinya .
Akhirnya , tamatlah riwayat hidup mereka sekeluarga demi mempertahankan akidah keimanan mereka kepada Allah S.W.T .
namun , pengorbanan mereka tidak sia-sia . Allah S.W.T. telah memberikan keistimewaan kepada Masyitah dan kelurganya . Allah juga memuliakan wanita itu dengan menjadikan kuburnya berbau harum .
No comments:
Post a Comment